
ITU-UUM sekali lagi telah berjaya mengumpulkan beberapa ahli radio amatur di Malaysia dengan mengadakan satu mesyuarat post mortem pada 24hb Julai 2011 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, bagi membincangkan perkara-perkara berbangkit ketika berlangsungnya Seminar Kebangsaan “Synchronizing Emergency Communication In Disaster Management Among The Radio Amateur Community In Malaysia 2011” (RACIM EmCom 2011) yang telah diadakan pada 30hb April hingga 2hb Mei yang lalu di Hotel Seri Malaysia Bagan Lalang, Selangor. Seminar tersebut adalah merupakan hasil kerjasama diantara ITU-UUM dan SKMM serta ahli-ahli Radio Amatur Malaysia yang terdiri daripada pelbagai persatuan dan kelab yang telah berdaftar dengan SKMM.
Seminar tersebut adalah merupakan seminar yang julung kalinya diadakan khas untuk ‘Radio Amateur Community In Malaysia’ (RACIM) bagi membincangkan segala isu-isu terkini dan permasalahan yang dihadapi serta memberikan pendedahan tentang kepentingan komunikasi radio dan peranan RACIM ketika menghadapi bencana apabila semua kemudahan telekomunikasi tidak dapat digunakan atau gagal berfungsi seperti sediakala.
Antara perkara utama yang telah dibangkitkan dan dipersetujui di dalam mesyuarat post mortem tersebut adalah :
- Menjadikan Seminar RACIM ini sebagai acara tahunan kerana ia merupakan platform atau medium yang terbaik untuk semua ahli Radio Amatur di Malaysia membincangkan segala isu-isu yang berkaitan dengan mereka dengan mudah dan efektif.
- Menjadikan ITU-UUM sebagai Pusat Stesen Radio yang utama di wilayah utara.
- Mewujudkan satu penyelidikan mengenai permasalahan dan isu yang dihadapi oleh komuniti radio amatur di Malaysia.
Diharapkan dengan usaha yang telah dilakukan ini, ITU-UUM mampu menjadi jambatan kepada semua ahli radio amatur di Malaysia untuk bergerak dengan lebih efektif dan bekerjasama diantara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment